Kategori : UMUM

SEJARAH PENUBUHAN

Pada awal penubuhannya, pengambilan pelajar hanya berjumlah 120 orang bagi 3 kursus iaitu Sijil Kejuruteraan Awam (Pembinaan), Sijil kejuruteraan Elektrik (Kuasa) dan Sijil Kejuruteraan Jentera (Am). Mulai tahun 1989, sistem semester mula diperkenalkan dengan pengambilan pelajar dua kali setahun iaitu untuk Sesi Januari dan Julai.
Pada 16 Oktober 2002, POLISAS maju selangkah lagi dengan penyerahan premis Maktab Perguruan Tengku Ampuan Afzan (MPTAA), Semambu, sebagai Kampus B POLISAS apabila maktab perguruan ini berpindah ke kampus barunya di Kuala Lipis. Kampus B yang mempunyai keluasan 27.2 hektar ini digunakan sebagai bilik kuliah dan makmal mulai Sesi Julai 2002.
Sejajar dengan perkembangan dan pertambahan bilangan pelajar, POLISAS pesat membangun dengan pembinaan bangunan baru dan pengubahsuaian blok-blok kuliah, bengkel, makmal komputer, makmal sains dan bangunan pentadbiran. Projek naik taraf di bawah pembiayaan pinjaman Bank Dunia telah siap sepenuhnya dan keseluruhan bangunan baru telah digunakan secara rasminya bermula 8 April 2004.
Pada 13 Januari 2004, POLISAS bersama-sama 14 buah Politeknik Kementerian Pendidikan Malaysia telah dianugerahkan Sijil MS ISO 9001:2000 menggantikan Sijil MS ISO 9002:1994 yang diperolehi pada 8 Februari 2001 sebelum ini. Pada 17 Jun 2009, POLISAS telah dianugerahkan Sijil MS ISO 9001:2008 daripada SIRIM.

 

LATAR BELAKANG

Selaras dengan perkembangan teknologi, penubuhan POLISAS merupakan satu langkah kerajaan untuk menambah bilangan tenaga terlatih separa profesional dalam bidang kejuruteraan dan perdagangan demi menjayakan projek-projek pembangunan agar perkembangan industri di negara ini bertambah pesat. Usaha ini juga untuk memastikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 tercapai. Sehingga kini terdapat 27 buah politeknik sedang beroperasi di seluruh Malaysia.
POLISAS diteraju oleh seorang Pengarah dan dibantu oleh Timbalan Pengarah (Akademik) dan Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) untuk mentadbir 7 buah Jabatan dan 11 unit yang diketuai Ketua Jabatan/Unit. Sehingga Mac 2012, POLISAS mempunyai lebih daripada 533 orang kakitangan akademik dan 134 orang kakitangan bukan akademik.
Bilangan pelajar di POLISAS pada ketika ini telah melebihi 6,035 orang dan sehingga kini POLISAS telah melahirkan seramai 24,618 orang graduan.

Share this post

Submit to DeliciousSubmit to DiggSubmit to FacebookSubmit to Google PlusSubmit to StumbleuponSubmit to TechnoratiSubmit to TwitterSubmit to LinkedIn
Switch To Mobile