Kategori : UMUM

PENGENALAN JABATAN PERDAGANGAN

Menyingkap kembali sejarah, Jabatan Perdagangan diwujudkan seiring dengan penubuhan POLISAS pada tahun 1976 dan telah menawarkan dua (2) program sahaja iaitu Sijil Penyimpanan Kira dan Sijil Sains Kesetiausahaan. Selepas itu, terdapat Enam (6) Program berkaitan bidang perniagaan dan pengurusan yang dilaksanakan oleh jabatan ini iaitu Empat (4) di Peringkat Diploma, dan Dua (2) Peringkat Sijil. Namun, mulai sesi Julai 2010, Politeknik-Politeknik Malaysia tidak lagi menawarkan program peringkat sijil.

Kini, dengan kekuatan tenaga pengajar seramai 72 orang dan terdiri daripada pensyarah terlatih, berpengalaman, dan pakar dalam bidang masing-masing, mereka bertanggungjawab melahirkan tenaga mahir separa profesional yang berkemahiran tinggi dan berwibawa di dalam Empat (4) Program Diploma iaitu Diploma Akauntansi (DAT), Diploma Sains Kesetiausahaan (DSK), Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan (DLS) dan Diploma Sistem Maklumat Perniagaan (DBS). Pengajian Peringkat Diploma dijalankan selama 6 semester (3 tahun) termasuk 1 semester Latihan Industri.

Secara umumnya, semua pelajar Jabatan Perdagangan akan diberi pengetahuan dan pendedahan asas dalam bidang Perakaunan, Keusahawanan, Prinsip Ekonomi, Aplikasi Komputer, dan Statistik. Mereka seterusnya akan didedahkan dengan pengetahuan dan latihan khusus mengikut bidang masing-masing. Misalnya, program Diploma Sains Kesetiausahaan melatih para pelajar dalam bidang trengkas, menaip, undang-undang perniagaan dan pembentukan personaliti. Bagi pelajar Diploma Akauntansi, pelajar diajar dengan pengetahuan kewangan, perakaunan, perangkaan, pengurusan, pengauditan, percukaian, dan lain-lain. Pelajar dalam program Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan pula akan didedahkan dengan pengurusan rantaian bekalan, prinsip pengangkutan, pergudangan, sistem logistik berkomputer, dan juga prinsip pembelian. Seterusnya, bagi Diploma Sistem Maklumat Perniagaan yang meliputi bidang perniagaan dan Teknologi Maklumat, mereka akan dilatih dengan kemahiran Teknologi Maklumat terkini dalam perniagaan seperti  pengaturcaraan komputer, pembangunan laman web,  sistem pangkalan data, pengurusan projek, sistem maklumat perniagaan dan lain-lain.

 

 

 

Share this post

Submit to DeliciousSubmit to DiggSubmit to FacebookSubmit to Google PlusSubmit to StumbleuponSubmit to TechnoratiSubmit to TwitterSubmit to LinkedIn
Go to top
Switch To Mobile